-Bismillahirrahmanirraheem-
Apa yang zahir mudah untuk kita kenali dan tafsir.
Rupa, jasad, fizikal. Apa yang dapat dikecap oleh semua deria kita hanyalah sekelumit daripada hakikat.
Pernah anda minum air teh tarik yang pekat?
Macam mana manis dia?
Memang boleh kasi sakit buah pinggang kan?
Cuba anda tunjukkan rasa manis tu.
Adakah ia berbentuk?
Boleh dilihat?
Didengar mungkin?
Rasa dengan lidah pasti
Tapi boleh kah diterangkan selain perkataan 'MANIS' tu?
Begitulah juga hakikat hati kita. Tak diketahui keadaannya melainkan si pemilik.
Hati ialah raja. Dalam jasad yang sebenarnya hanya alat yang bakal reput, apa yang batinlah sebenarnya mempunyai signifikan dan berat atas mizan di Yaumul Hisab nanti.
Bagaimanakah keadaan hati yang menjadi Raja yang baik? Antaranya ia tidak ditampung kehidupannya dengan barang-barang syubhat, apatah lagi haram.
Itu sahajakah yang perlu hati itu perhatikan? Apa yang disuap ke dalam mulut?
Seorang Raja bukan sahaja mengawal dan memerhati barang import ke dalam kerajaan, malah turut memantau kegiatan eksportnya.
Apakah barang eksport sebuah kerajaan? Mungkin sumbangan aset perbendaharaan HARTA, perkongsian intelek dan ilmu fakulti kajian MINDA, atau bantuan humanitarian berbentuk bantuan LISAN nasihat dan semangat, atau jentera-jentera pembangunan infrastruktur TANGAN dan KAKI.
Namun ada suatu bahan eksport yang lebih dinilai daripada mana-mana hasil pengeluaran kerajaan hati.
Apakah ia?
Tiadalah hati itu melainkan hamba dan tiadalah hamba melainkan dia menzahirkan penghambaannya kepada TUHANNYA. KEHAMBAAN!
Jadi, sekiranya segala hasil-mahsul kerajaan ini disasarkan ke arah merealisasikan agenda ini, maka sememangnya Raja ini Raja yang disanjung di kerajaan langit dan bumi.
Tapi, berapa ramaikah Raja yang baik jika dibandingkan dengan Raja yang zalim?
Berapa ramai Raja yang terus berkuasa dengan agenda yang sesat?
Adakah kabinet Iman dan Aqal pernah buat check & balance dengan sang Raja?
Atau anasir-anasir luar sudah mula meluaskan genggaman mereka ke atas seantero kerajaan?
Ketahuilah, apabila Raja sudah dirosakkan oleh racun HASAD, RIYA & UJUB pihak mastermind konspirasi kemanusiaan maka segala rakyat akan merana.
Merana kerana mereka akan ditempatkan di sebuah perkampungan yang amat menyeksakan.
Yang takkan membiarkan walaupun secebis ketinggalan.
Maka Raja perlu mencari penawar dan penawar itu sangat pahit cara memperolehnya.
|
_Meninggalkan segala-galanya kerana-NYA_ |
Ia menuntut membuang segala kemuliaan makhkota, kerajaan dan perbendaharaan.
Ia menuntut keruntuhan ego, perasaan dihargai rakyat dan sanjungan kerajaan lain.
Ia menuntut kepercayaan yang utuh kepada janji Tuhan.
Ia menuntut sang Raja mematikan diri kepada sifat dunia yang sementara.
Ia menuntut sang Raja mengaku ada kedaulatan yang lebih besar yang menuntut ketaatannya.
Ia menuntut sang Raja menjadi Hamba kepada TUHAN dan menjadi penaung yang adil kepada hamba-hamba-Nya yang lain.
Sungguh Sang Raja pasti bergelut untuk mencari penawar itu.
Ianya Sirr dari yang Asrar.
Ia lebih susah untuk dikecap dan dikenal pasti daripada semut hitam di atas batu hitam di waktu malam yang tiada diseri bulan dan bintang.
Wahai Raja-Raja sekalian, ayuh keluarkan perintah mencari penawar IKHLAS!
__________________________________________________________________________________
Imam Nawawi terjemahan dan syarahan serta susunan Ustaz Mustafa Abdurrahman, Hadith 6 & 10 , "Matan Arbaeen An-Nawawiyyah", Dewan Pustaka Fajar, Cetakan 2000.