Monday, March 28, 2011

Hitam, Putih dan Kelabu

Bismillahirrahmanirrahim


Alangkah senang hidup kalau segalanya hitam putih.


Jelas.


Terang.


Tak Kabur.


Muktamad.



Tapi realiti kehidupan memang penuh dengan ketidakjelasan, kekaburan dan ketidakmuktamadan.


Kawasan kelabu nak dikatakan.



Macam mana nak menghitam dan memutihkan kawasan kelabu ni? Dalam perkara yang nampak buruk, mungkin sebenarnya baik, apa yang nampak baik mungkin hakikatnya buruk.


"Kerajaan akan membuka sebuah sekolah khas untuk ibu-ibu 'tunggal' demi membela nasib mereka dan anak-anak mereka"



Boleh anda kata dengan muktamad tindakan di atas tu memang membawa mudarat?


Ni tak masuk lagi bab apa yang dianggap putih sebenarnya hitam.


"Kerajaan akan membekalkan vaksin HPV bagi menjaga kebajikan dan kesihatan puteri-puteri negara ini"


Bukan ke HPV tu penyakit STD (sexually transmitted diseases)? Nak halang ajar la anak perempuan kita jaga kehormatan diri, bukan bagi mereka penawar supaya boleh berzina tanpa runsing tak kena kaffarah penyakit!


Hanya ilmu boleh menjadi pembeza.


Tapi ada juga perkara yang memang tak boleh diketahui. Benda yang metafizik bak kata orang, atau benda yang berbentuk proses, tak dapat diramalkan dengan jelas natijahnya.


" Azim tu budak rempit, sampai bile-bile dengan geng rempit dier."



Berapa ramai antara kita membuat anggapan seperti ini dengan kenalan-kenalan yang tersilap langkah?


Kita perlu tahu cara untuk menanggapi dan menghadapi situasi dan masalah yang sentiasa akan menghentam kita.


Hadapi dengan ilmu, bukan prasangka, emosi dan sentimen.


Peganglah dengan perkara-perkara yang terputus (Qat'ie) hukumnya dan jauhi apa yang sudah jelas kemungkarannya.


Tegakkan apa yang memang benar dan tolak apa yang memang batil.


Kiranya bertemu dengan isu yang rumit, pertimbangkanlah dari pelbagai sudut. Ingat Haditsul Ifki? Bagaimana tohmahan dilontarkan kepada Saiyidatina Aisyah R.a, isteri Rasulullah S.A.W. yang Muhshanat bahawa beliau berlaku sumbang dengan Shofwan bin Al-Mua'ththil, seorang pejuang di barisan jihad setelah peperangan Bani Musthaliq.

Adakah kaum Muslimin memberi respon dengan terus menyimpulkan serikandi agung ini telah mencalitkan diri dengan dosa? (dan ini sudah pasti merupakan sesuatu kemustahilan)


Tidak! Sekalipun ketika Rasulullah S.A.W. begitu gelisah dengan penyebaran berita sumbang itu, baginda tidak memberi sebarang judgement terhadap Saiyidatina Aisyah R.a. Diserahkan urusan itu kepada Allah agar menerangkan kabur fitnah yang dimulakan oleh Abdullah bin Ubai bin Salul, taiko orang Munafiq ketika itu.


Lalu turun firman Allah S.W.T yang rupanya menjelaskan dengan begitu hikmah bahawa peristiwa Al-Ifk ini membawa pengajaran yang besar dalam tatasusila masyarakat muslim.


-Au'zubillahiminasysyaithanirrajeem-

"Mengapa orang-orang Mu'min dan Mu'minat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, ketika kamu mendengar berita bohong itu dan berkata, 'Ini adalah suatu berita bohong yang nyata'."

(Surah An-Nur:12)

Bersangka baiklah.

"Mengapa mereka yang menuduh itu tidak datang membawa 4 saksi? Oleh kerana mereka tidak membawa saksi-saksi, mereka itu dalam pandangan Allah adalah orang-orang yang berdusta"
(Surah An-Nur:13)

Pastikan maklumat atau perkara yang kita dengar itu ada kredibiliti, kesahihan, kebenaran.

"Dan seandainya bukan kerana kurniaan Allah dan rahmat-Nya kepadamu di dunia dan akhirat, nescaya kamu ditimpa azab yang besar disebabkan perbicaraanmu tentang berita bohong itu."

"Ingatlah ketikamana kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulut kamu apa yang tidak kamu ketahui sedikit pun, dan kamu menganggapnya REMEH, padahal dalam pandangan Allah itu SOAL BESAR."
(Surah An-Nur: 14-15) 

Sentiasalah sedar setiap perkataan yang terbit dari lisan kita berpotensi membawa consequence ke SYURGA atau NERAKA. Jangan sesekali dengan mudah memperkecilkan urusan HISAB di akhirat kerana pandangan siapakah yang lebih utama? Kita atau DIA yang mengatur segala-galanya?


Satu kalam yang begitu bernilai pernah dituturkan oleh para sarjana, ulama' Islam dalam bidang keilmuan.


"Mengatakan aku tidak tahu juga adalah satu fatwa"

Sekiranya kita tidak tahu, katakan tidak tahu. Telah banyak berlaku kecelaruan dan peristiwa mengaibkan dalam sejarah Islam dan tamadun manusia umumnya kerana perangai tak bertanggungjawab golongan yang sedap-sedap hati memberi fatwa, keputusan dan mereka-reka penjelasan tentang satu perkara tanpa pertimbangan yang jelas.


Sesungguhnya inilah adab yang disemai Islam kepada ummatnya. Ummat mengutamakan persaudaraan, rahmat dan kesejahteraan dalam kehidupan penganutnya.


Moga-moga perkongsian ini memberi manfaat.


P/s: Kepada para pembaca yang dihormati, cuba cari buku2 yang membincangkan tafsir surah An-Nur, banyak hikmah yang boleh kita ambil dari kisah2 yang termaktub dalam surah tu.

3 comments:

  1. Coretan yg penuh hikmah.
    Moga dikurniakan Allah keberkatan masa utk menghasilkan pelbagai nukilan yg mengetuk minda.

    ReplyDelete