Thursday, June 9, 2011

Jalan Ini

-Bismillahirrahmanirraheem-

'Ketikamana surah Hud diwahyukan kepada Rasulullah S.A.W, para sahabat hairan dengan perubahan fizikal baginda S.A.W'

'Sepanjang mereka ra.h bersama dengan baginda, inilah kali pertama mereka melihat helaian-helaian rambut putih di kepala Rasul yang mulia'

'Para sahabat terdorong untuk bertanya.'

'Ya Rasulullah! Adakah begitu berat wahyu kali ini sehingga beruban rambutmu?'

'Tidak wahai sahabat-sahabatku, bukanlah kerana berat seluruh wahyu ini rambutku mula beruban tetapi semata-mata kerana satu ayat!'


.......................................................................................


Dalam sepi merenung kembali perjalanan, biasanya perkara-perkara yang simple lah menjadi penentu sama ada kita dapat meneruskan langkah ataupun tidak.

Kita menyimpan impian untuk sampai ke pelbagai destinasi, kebanyakan masanya jarak kita dengan destinasi tersebut tersangat-sangat jauh. namun atas dasar ingin membuat perbezaan kita tetap utuh mempercayai suatu hari nanti kita akan sampai jua.



Seorang pelajar tadika bercita-cita menjadi saintis.

Dia membesar sehingga remaja dan terus menyimpan impian yang sama.

Namun dalam zaman emasnya itu dia leka dan peluang untuk melanjutkan pelajaran terlepas dari genggamannya.

Tapi dia masih degil dengan cita-citanya, dia masih mengimpikan suatu hari nanti sebuah kot makmal dengan namanya dijahit kemas pada bahagian dada menunggu masa untuk disarungnya.

Hakikat kehidupan tidak meraikan mereka yang berlengah dalam berusaha. Anda boleh jaminkah beliau dapat menggapai impian hidup menjadi saintis?

Ataupun mana-mana lagi sasaran kita dalam kehidupan, sekiranya kita tidak konsisten dari point A ke B maka peluang untuk sampai ke point B boleh dikatakan mustahil.

Konsisten.

Keberterusan.

Macam mana pun manifestasi perkataan, ia tetap merujuk kepada hikmah nubuwwah yang dinamakan ISTIQAMAH.

Betapa beratnya ISTIQAMAH sehingga beruban rambut baginda S.A.W ketika menerima perintah untuk melazimkan diri dengannya.

Namun baginda tetap manusia, hikmah Ilahi agar kita tidak beralasan untuk tidak mencontohi akhlak baginda kerana baginda seorang Nabi yang sempurna sifatnya.

Sekalipun tampak berbeza matlamat kami, aku tahu Engkau Maha Mengerti bahawasanya tujuan kami semua adalah sama- UNTUK MELIHAT AGAMA INI TERZAHIR DI PELUSUK BUMIMU YA ALLAH!

Kami pasti akan tersungkur Ya Allah Ya Rahman, yang tidak terlepas daripadanya sebarang urusan di langit atau dibumi, maka anugerahkanlah kepada kami hikmah ISTIQAMAH ini agar kami terus utuh di jalan-Mu.

Sungguh, amat besar hikmah dan pengajaran ayatmu yang agung ini.

"Maka TETAPLAH engkau Muhammad di jalan yang benar, sebagaimana yang telah diperintahkan,kepadamu dan mereka yang bertaubat bersamamu dan janganlah engkau melampaui batas. Sungguh, dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan."
(Surah Hud : 112) 

Terima kasih guruku Ustaz Muhadir bin Haji Joll atas nasihat ini.

Kepada mak dan ayah, abang dan adik, rakan-rakan yang semuanya sedang menuju ke arah yang satu ini, saya doakan anda semua dikurniakan hikmah besar ini.

Saya sayang Ummah, tapi banyak lagi yang perlu saya perbaiki.

Harap anda semua juga memahami. Sekian....

0 comments:

Post a Comment