Bismillahirrahmanirrahim
Segala puji bagi-Nya, Zat yang telah mengizinkan diri ini untuk terus bernaung di bawah cara hidup yang telah Dia perturunkan kepada kita, melalui Kekasih yang dirindui, Muhammad S.A.W.
Segala puji baginya jua, pada hari pertama cuti daripada kampus, Dia telah memberikan kekuatan untuk mendirikan solat subuh berjemaah di masjid. Alhamdulillah!
Udara nyaman waktu pagi yang menyegarkan, disambut pula dengan turunnya keberkatan yang begitu besar pada waktu ini sepatutnya tidak dilepaskan.
Mana tidaknya? Solat subuh mencerdaskan badan, memberikan 'surcharge' oksigen dalam pendarahan, mengaktifkan fungsi otak, menjadikan kita lebih aktif untuk menghadapi satu lagi hari sebagai seorang khalifah.
Namun agak sayu. Sayu kerana begitu sedikit antara kita mampu mengetepikan perasaan mengantuk yang menipu. Rasa tak berdaya bukan kerana tiada tenaga, tetapi nafsu yang menghalang diri untuk beramal. 1 saf sahaja terus utuh berdiri, ramai yang sudah lanjut usia, manakala yang muda? Entahlah. Berjemaah di rumah rasanya.
"Sayu kerana begitu sedikit antara kita mampu mengetepikan perasaan mengantuk yang menipu." |
Saya rasa inilah satu norma ummah Islam di Malaysia. Subuhnya lengang, Jumaatnya padat, sebagaimana Eid Al-Fitri dan Aid Al-Adha.
Kekuatan datang daripada suasana, bukan daripada diri. Hasilnya, amalan hanya meningkat pada waktu-waktu tertentu, dalam keadaan-keadaan tertentu.
Sepertimana Ramadhan jua, di'gah'kan diri untuk menahan minum dan lapar kerana orang lain juga berbuat demikian. Akhirnya Ramadhan baginya hanya minum dan lapar sahaja, lebih teruk lagi amalan Solat Tarawih tidak diterima kiranya hanya ingin memeriahkan 'sambutan' bulan mulia ini.
Saudara saudari sekalian,
Kita adalah seorang Muslim bukan hanya ketika orang sekeliling kita Muslim, bukan juga hamba tatkala ibadah rancak bersuasana dan bukan juga seorang yang bertaqwa hanya dalam bulan Ramadhan.
Ingatlah kata-kata seorang ulama :-
"Jadilah kamu hamba kepada Allah, bukan HAMBA RAMADHAN!"
Sekiranya pada bulan ini anda dapat beristiqamah untuk menjalankan ibadah, maka teruskanlah hingga berjumpa dengan Ramadhan tahun hadapan. Jangan terbantut rekod cemerlang anda gara-gara meriahnya orang sekeliling ingin 'meninggalkan' Ramadhan.
Solat Jemaah jangan ditinggalkan kerana membeli-belah, tadarus dan tilawah Al-quran usah dibiarkan semata-mata untuk menonton rancangan khas edisi raya, atau duduk bersahaja dengan harapan Ramadhan boleh berlalu dengan pantas lagi.
Ramadhan berbaki 4 hari lagi. Malam ini malam ke-27.
Ya Allah! Berikanlah kekuatan kepada kami untuk terus beramal dalam bulan ini dan kurniakanlah kami dengan keikhlasan beribadat!
Ya Alllah! Jadikanlah kata-kata ku ini hujjah bagiku, bukan ke atasku!
0 comments:
Post a Comment