Friday, August 27, 2010

Pesanan Ramadhan

Bismillahirrahmannirrahim.

Assalamualaikum saya ucapkan kepada saudara-saudari sefitrah semua.

Sudah agak lama saya tak berceloteh, mungkin sebab kehidupan baru di kampus yang sememangnya sibuk, atau mungkin tandus buah fikiran untuk dikongsikan.

Tapi syukur Alhamdulillah, dapat juga saya meluangkan masa dengan anda semua di bulan Ramadhan ini, bulan penyucian Fitrah.

DIRI DI BULAN DI RAMADHAN

Antara keisitimewaan bulan Ramadhan yang sentiasa disebutkan ialah musuh kita yang nyata, Syaitan Laknatullah dibelenggu. Terdapat banyak pendapat berkenaan hadith yang dikhabarkan daripada Junjungan Rasulullah S.A.W. ini, antaranya :



  1. Syaitan sememangnya dibelenggu, tidak dapat meloloskan diri dan sememangnya terhalang daripada menggangu kita.
  2. Hanya Panglima-Panglima, General-General dan Bendahara daripada kalangan mereka sahaja yang dibelenggu, sedang yang berpangkat prebet bebas berkelana.
  3. Yang dimaksudkan dengan dibelenggu ialah mereka disukarkan dengan sekatan-sekatan dalam misi merosakkan manusia.
Anda boleh memilih mana-mana pendapat di atas kerana semuanya dinukilkan daripada ulama-ulama. Tak perlu kita bahaskan yang mana lebih sahih, sepertimana segelintir daripada kita masih bertelagah tentang bilangan rakaat terawih sedangkan ia perkara Khilafiah.

Tidak sahabat-sahabat, yang ingin saya tekankan di sini ialah pada bulan diturunkan Al-Qur'an ini, yang dimuliakan juga dengan Lailatul Qadr, Allah dengan Pengasihnya memberi kita peluang untuk melihat diri kita yang sebenar. Siapakah diri kita dalam selang masa 11 bulan ditinggalkan oleh bulan yang mulia ini. Cerminan sebenar diri kita. Iman, Aqal & Nafsu dalam bentuk original tanpa dipengaruhi atau dikurangkan daripada bisikan Syaitan.

CERMINAN FITRAH

Bagaimanakah anda dengan Solat pada bulan ini. Jika masih berjemaah malahan di masjid tambahan pula di awal waktu, maka tahniah! Beristiqamahlah dalam amalan anda. 

Tetapi sekiranya masih berseorangan, terpisah daripada jemaah muslimin yang lain, maka bergembiralah! Anda dipermudahkan untuk membuat perubahan!

Sebagaimana anda dipermudahkan untuk menyedari kesilapan apabila api ego tidak dimarakkan tiupan Syaitan.

Sebagaimana anda dipermudahkan untuk merenung dan berfikir apabila masa makan tengahari dan makan malam di'hazafkan'.

Sebagaimana anda dipermudahkan untuk berinfak apabila perbelanjaan makanan juga di'hazafkan'.

Sememangnya anda seorang yang berbahagia kiranya anda dapat berfikir sebegini, namun jika sebaliknya, saya nasihatkan anda supaya memperbetulkan pandangan anda dalam bulan ini.

Ramadan bukan bulan berpesta makanan.

Ramadan bukan bulan kita 'memeriahkan' masjid dengan membuat pergerakan 'seperti' solat.

Ramadan bukan bulan yang di mana lagu-lagu boleh digubah daripadanya semata-mata.

Ramadan bukan bulan yang dikesampingkan di ambang Syawal.

Ramadan bukan satu tempoh masa yang ditentukan oleh adat untuk kita berlapar dan berdahaga. 

RAMADAN BULAN PERUBAHAN YANG MENYAKSIKAN KELAHIRAN JIWA-JIWA YANG KEMBALI KEPADA FITRAH!

Walaupun sudah masuk hari ke-18, izinkan saya mengucapkan Selamat Berpuasa untuk saudara-saudari sefitrah sekalian.



Moga kata-kata ini menjadi peringatan buat diri dan anda semua.

Wallahua'lam...


0 comments:

Post a Comment